Wednesday, May 25, 2011

Ujian perceraian


Saya dapat artikel nie dari http://iluvislam.com/ just nak berkongsi dengan kawan-kawan mengenai seorang isteri yang diceraikan suaminya kerana orang ketiga. Setiap ujian dan musibah yang berlaku ada hikmahnya. Jadikan setiap apa yang berlaku mesti ada sebabnya Allah menguji kita. Daripada-NYA kita datang dan kepada-NYA kita akan kembali. Tiada cinta yang kekal dimuka bumi Allah ini kecuali cinta sepenuh hati kepada ALLAH.....jadikan artikel ini sebagai kekuatan kepada yang pernah melalui perkara yang menyakitkan kerana disakiti oleh orang kita cintai......


Kehidupan itu pada hakikatnya adalah satu proses pembelajaran. Ilmu tentang kehidupan itu lebih penting dari ilmu yang diperoleh untuk sekeping ijazah.
Kehidupan bukanlah untuk kita tempuhi sebagai satu hari hari yang berlalu, tetapi renungan dan pelajaran yang dapat dipelajari dari hari hari yang berlalu.


Cabaran serta ujian dalam kehidupan itu pastinya ada, ia merupakan satu mekanisma untuk mematangkan diri kita, meningkatkan cara kita berfikir, cara kita berhadapan dengan masalah, mendidik kita untuk sabar, mengajar kita untuk menjadi lebih baik dan yang lebih manis lagi, cabaran serta ujian dalam kehidupan ini telah mendekatkan diri hambaNya kepada yang Maha Kuasa.
Inilah satu proses pembelajaran selama mana kita berada dalam universiti kehidupan. Saya juga sebagai hamba Allah tidak terlepas dari ujian-Nya.

Perkongsian artikel ini adalah dari pengalaman saya sendiri. Kini hampir 5 bulan perceraian saya dengan bekas suami. Perceraian itu pasti menyakitkan, memedihkan dan memeritkan. Bukan mudah terutamanya bagi wanita menerima hakikat perceraian yang disebabkan oleh orang ketiga. Tanpa ilmu pastinya akan sukar bila mana kita menghadapi ujian paling besar dalam perkahwinan.

Permulaannya, saya amat kecewa, marah dan terkilan. Pelbagai persoalan timbul, kenapa ini terjadi, mengapa dia sanggup mengecewakan aku, tidakkah dia mengingati akan pengorbananku, tidak adakah perasaan simpati padaku disaat aku amat perlukan dia, dia melangkah pergi dan pelbagai persoalan lain seakan mencari apakah kesilapanku.

Hampir 3 bulan pertama, saya telah meyeksa diri saya sendiri untuk mendapatkan jawapan dari persoalan – persoalan ini, namun akhirnya saya tahu saya tidak akan dapat memperoleh jawapannya malahan saya akan merosakkan diri saya sendiri.

Pada ketika, saya menyedari tiada siapa yang boleh membantu saya untuk berhadapan dengan ujian getir dalam kehidupan saya, saya telah memilih untuk kembali pada Allah, menyerahkan sepenuh jiwa dan raga pada Allah s.w.t.

Tidak ada sesiapa pun yang dapat memahami hati dan perasaan kita melainkan Allah Taala, mungkin orang di sekeliling kita hanya boleh berkata "banyakkan bersabar", tetapi tidak ada sesiapa yang merasai kepedihan hati seorang isteri yang telah melakukan pengorbanan dalam perkahwinannya melainkan Pencipta hati ini.

Dalam proses pemulihan diri, saya ingatkan pada diri saya untuk meredhai ujian Allah ini. Namun begitu, saya tidak mahu redha pada mulut sahaja tetapi hati tidak meredhainya, bila hati tidak dapat menerima maka perasaan marah dan kecewa tadi tidak akan hilang dalam hati kita.

Walaupun bukan mudah untuk saya memulihkan diri saya tetapi berkat keyakinan saya dengan pertolongan dan ganjaran Allah yakni Allah memberi ujian untuk meningkatkan darjat hamba-Nya, ujian sebagai tanda Allah sayang pada hamba-Nya, ujian sebagai satu ganjaran pahala dari Allah maka akhirnya saya merebut segala hikmah disebalik ujian ini.

Mendidik hati untuk sabar dan meredhai ujian bukanlah mudah, tetapi sesungguhnya janji Allah itu adalah benar. Apabila hati dididik untuk sabar melalui solat dan doa maka kemanisan ujian itu akhirnya dapat digapai. Mana mungkin kekuatan itu datang dengan sendirinya tanpa pertolongan dari Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pemberi.

Kini, hati saya lebih tenang dan bahagia, Allah menguji kita tetapi Allah juga yang menunjukkan jalan keluar. Ujian perceraian ini punya hikmah yang tersendiri. Perlukah kita mengejar cinta manusia yang pada hakikatnya tidak akan kekal, pasti ada perpisahan kerana kita bertemu untuk berpisah.

Kini hati saya berkata, "Ya Allah, jika ujian ini adalah tanda kecintaan-Mu kepadaku, maka aku terima dengan hati yang lapang dan aku bersyukur kepada-Mu, terima kasih Ya Allah melalui ujian-Mu ini aku lebih dekat dengan-Mu, hatiku sentiasa mengingati-Mu, aku tidak mahu merosakkan diriku lagi kerana diriku adalah pemberian-Mu, terima kasih Ya Allah walaupun aku kehilangan cinta manusia tetapi aku telah memperoleh cinta sejatiku,cintaku pada-Mu,kasih sayangku kepada-Mu mampu membawaku ke syurga kenapa perlu aku merebut kasih sayang manusia,.

Ya Allah aku redha dengan ujian-Mu ini, sesungguhnya Kau lebih mengetahui apa yang terbaik untukku, terima kasih Ya Allah atas ujian-Mu ini. Hatiku kini hanya untuk-Mu, pimpinlah hatiku Ya Allah untuk sentiasa istiqamah dalam perubahan diriku ini kerana sesungguhnya Ya Allah aku ingin mengejar ganjaran pahala dari-Mu dan syurga-Mu."

Maka benarlah janji Allah kepada hambaNya, setiap sesuatu itu adalah ketentuan-Nya dan Allah lebih Maha Mengetahui tiap sesuatu itu. Ujian dalam kehidupan ini bukanlah kerana Allah mahu menghukum kita tetapi dengan ujian kita akan mempelajari pelbagai ilmu dalam universiti kehidupan.

Ujian dalam kehidupan ini telah mendidik saya erti kesabaran dan ketabahan, mematangkan diri saya, meletakkan cinta kepada Allah s.w.t di tempat pertama dalam hati saya dan saya amat yakin dengan pertolongan Allah kerana Allah adalah sebaik-baik penolong dan pelindung.

Terima Kasih Ya Allah.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment